Mata Air Panas Poring yang terkenal terletak 43 km dari Taman Kinabalu di sempadan sebelah timur. Ia terletak di tanah rendah dan para pelawat boleh memilih untuk berendam di kolam-kolam air panas terbuka atau tertutup. Air panas yang mengandungi sulfur ini dikatakan mempunyai khasiat kesihatan dan mampu menyegarkan badan dan sendi-sendi yang lenguh. Apatah lagi bagi para pendaki yang baru turun dari puncak Kinabalu. Kehangatan air mineral di sini sudah tentu melenyapkan segala penat lelah. Kolam air panas ini amat popular di kalangan penduduk tempatan yang datang membanjiri kawasan rekreasi tersebut pada hari cuti dan hujung minggu


Di Poring, para pelawat boleh juga bersiar-siar di taman kupu-kupu atau melakukan aktiviti yang lebih mencabar iaitu berjalan di puncak pepohon hutan dipterokap di atas Jambatan Kanopi yang bergantung pada ketinggian 41 meter dan sejauh 157.8 meter. Pemandangan ke bawah dari puncak pohon Menggaris atau Raja Kayu sukar digambarkan. Para pelawat harus mengalaminya sendiri bagi merasai debaran dan kepuasan yang dikecapi berada di celah pucuk pepohon tertinggi.

Post a Comment