Taman Rekreasi Air Panas  Tawau


Taman Rekreasi Air Panas berkenaan sudah berubah sama sekali selepas hampir setahun dimajukan sebuah syarikat swasta.

Sebaik tiba di pintu masuk taman, pengunjung dapat menyaksikan landskap bunga-bungaan yang tersusun rapi dan ada "ukiran" pohon renek tertulis "1Malaysia" dan "Hotspring" di kawasan tinggi taman itu.

Taman Rekreasi Air Panas dibangunkan merangkumi kawasan seluas 16.2 hektar ini pada bulan Februari 2009 dengan pelaburan hampir RM1 juta oleh Rekobumi Sdn Bhd bagi membolehkan ia salah satu destinasi pelancongan sama ada penduduk setempat mahupun dari luar.

Taman ini secara rasminya telah dibuka kepada orang ramai pada Jun tahun  2010. Pembukaan taman ini akan menyediakan ruang kepada pelancong dan pengunjung tempatan termasuk masyarakat Tawau sendiri untuk berekreasi di hujung minggu bersama keluarga.

Tarikan Utama

Antara daya tarikan utama pengunjung ke taman ini yang jauhnya lapan kilometer dari bandar Tawau ini ialah penyediaan beberapa petak kolam air panas untuk pengunjung mandi atau merendam kaki mengikut cita rasa pengunjung sendiri.

Petak-petak kolam air panas berkenaan mempunyai kepanasan berbeza iaitu antara 30 hingga 60 darjah selsius dan sesuai untuk orang dewasa atau kanak-kanak berendam di dalamnya, yang dipercayai baik untuk kesihatan termasuk kulit.

Selain mandi air panas, pengunjung juga boleh menikmati kesegaran udara hutan kecil berhampiran yang diliputi dengan pokok kayu tropika selain pelbagai jenis bunga- bungaan yang indah.

Orang ramai juga boleh berjoging di trek joging yang disediakan dan jika terasa letih dan ingin berehat pengunjung, boleh singgah di lebih 20 pondok rehat yang disediakan.

Boleh Bermalam

Bagi pengunjung yang berminat tinggal semalaman di taman rekreasi berkenaan sambil menikmati kesunyian malam, pihak pengurusan taman itu juga akan membina chalet untuk memenuhi kehendak itu.

Untuk pihak yang ingin menganjurkan sebarang program rasmi seperti seminar, forum atau majlis-majlis lain, pemanju merancang membina sebuah dewan yang mampu menampung sehingga 400 orang pada satu-satu masa untuk tujuan itu.

Post a Comment