Tugu Peringatan Perang Kundasang ( Kundasang War Memorial Park )



Pembinaan awal Tugu Peringatan Perang Kundasang (Kundasang War Memorial Park) ini bermula pada tahun 1962 oleh seorang warga negara New Zealand iaitu Major G.S Carter yang pada ketika itu bekerja dengan Shell Oil Company Borneo.

Tujuan utama pembinaan Tugu Peringatan ini ialah untuk memperingati seramai 2,428 tentera Australia dan British yang terkorban semasa Perang Dunia Ke II di Kem Tahanan Perang Sandakan serta mereka yang terbunuh di dalam tiga perbarisan maut tahanan perang yang dikenali sebagai 'Sandakan Death March' oleh tentera Jepun, yang bermula dari Sandakan ke Ranau sejauh 265 km meredah hutan hujan tebal tropika.

Pembinaan tugu ini juga adalah untuk mengenang dan menghargai jasa penduduk-penduduk tempatan yang terkorban di dalam memberi pertolongan dan bantuan kepada tahanan-tahanan perang tersebut.

Hanya enam orang tentera Australia terselamat dari tragedi ini, menurut salah seorang penduduk yang menetap di situ ketika menceritakan pengalaman mereka kepada umum, manakala semua tentera British pula katanya telah terbunuh semasa peperangan itu.

Kundasang War Memorial Park ini dibina oleh kerajaan New Zealand dan taman ini menyerupai sebuah kubu di atas bukit berhampiran dengan Pekan Kundasang. Walau bagaimanapun, ia telah dibiarkan begitu sahaja sehinggalah pada tahun 2005  kerja-kerja pemulihan telah dimulakan.

Reka bentuk tugu peringatan ini adalah hasil ilham seorang arkitek yang bernama J.C Robinson.

Memorial ini terdiri daripada empat taman yang indah dengan tema ketiga-tiga negara yang berbeza untuk mengingati wira-wira mereka yang hidup atau terkorban semasa tragedi menyayat hati 'Sandakan Death March' itu.

Taman-taman tersebut adalah Taman Australia, Taman Inggeris, Taman Borneo serta satu lagi taman yang dinamakan Taman Kontemplasi (Renungan).

Dalam Taman Australia, paku pakis dan rumput turf menyambut pengunjung.
Taman Inggeris pula hampir menyerupai sebuah taman ala British lama dengan bunga ros mekar indah yang terdapat dalam pelbagai warna.

Dengan pokok-pokok pain yang menjulang tinggi serta bunga-bunga ros, berjalan kaki di taman-taman tersebut mengingatkan seseorang bersiar-siar dalam sebuah taman Inggeris yang indah.

Dalam Taman Borneo pula pelbagai tumbuhan asli Sabah termasuk orkid liar yang jarang dapat dilihat, terdapat. Jika anda bernasib baik, anda akan dapat melihat orkid selipar Rothschild tumbuh mekar di situ.

Bauan mawar di perudaraannya serta suasana tenang menjadikan Memorial Perang Kundasang tempat yang sangat sesuai untuk memikirkan dan mengingati jasa, pengorbanan serta seksaan dan keperitan yang dialami oleh tahanan-tahanan perang tersebut.

Pengunjung-pengunjung juga boleh memilih untuk menonton satu video ringkas tentang sejarah "Sandakan Death March" tersebut.

Pemandangan persekitaran Memorial Perang Kundasang yang berlatar belakangkan Gunung Kinabalu, perkampungan yang indah dan ladang sayur yang terbentang luas mengingatkan kita akan erti nilai sebuah keamanan.

Tugu peringatan ini dibuka setiap hari untuk semua pengunjung tempatan dan luar negara dari jam 08.30 pagi hingga 05.30 petang. Ianya dibuka bukan hanya untuk memberi peluang kepada setiap pengunjung untuk melihat taman yang indah tetapi juga untuk mengajak setiap pelawatnya mengenang dengan penuh hormat dan simpati terhadap mereka yang terseksa dan terkorban begitu rupa demi suatu perjuangan.

Kadar bayaran memasuki Tugu Peringatan ini adalah RM2.00 untuk pemegang MyKad (Warga Negara) manakala RM10.00 bagi pengunjung bukan pemegang MyKad (Bukan Warga Negara).

Tugu peringatan ini seharusnya boleh menjadi teladan kepada generasi kini agar menghargai pengorbanan tentera-tentera dahulu dalam mempertahankan nyawa demi menjaga keamanan dan kemakmuran wilayah yang dipertahankan.

Kehadiran tugu Peringatan ini memberi makna yang besar kepada kita agar tidak terlalu selesa dengan kemakmuran yang kita miliki kini kerana tragedi seperti ini boleh berulang jika tidak dipertahankan dengan memupuk kesepaduan di dalam segenap masyarakat kita.

Oleh Taidin Suhaimin

Post a Comment