Cuaca sejuk dan berkabus menyelubungi kaki Gunung Wakid menyambut kedatangan kami ke gunung kedua tertinggi di daerah Tambunan, Sabah, baru-baru ini.

Penulis bersama lebih 40 peserta dari Sabah berpeluang menyertai program ‘Sabahan Climbers’ bagi menawan puncak gunung berkenaan.

Wakid dalam Bahasa Kadazandusun bermaksud ‘alat pengangkut beban’. Mempunyai ketinggian 1,372 meter dari paras laut (mdpl), Gunung Wakid menawarkan pengalaman mendaki yang menarik buat penggemar aktiviti lasak.

Apatah lagi, kawasan sekitar kaki gunung ini disulami pemandangan indah sawah padi nan saujana mata memandang, air terjun yang memutih serta perkampungan tradisional penduduk setempat.

Memulakan misi pendakian, kami melakukan perjalanan sejauh empat kilometer (km) ke tapak perkhemahan dikenali ‘Noel Camp’ di kaki gunung.

Laluan ke puncak juga sebenarnya memberi cabaran getir buat pendaki yang mahu menawan gunung ini.

Selepas melintasi lebih lima kawasan sawah padi, 12 anak sungai, satu jambatan gantung dan empat titi, peserta tiba di Noel Camp pada jam 5.30 petang sebelum mendirikan khemah di tepi sungai berhampiran air terjun Kolopis.

Menggalas beg yang diisi makanan dan keperluan lain sememangnya memenatkan, namun kami dapat berehat seketika sebelum memulakan cabaran sebenar jam 4 pagi keesokan hari.

Dek hujan lebat menambah kedinginan, kebanyakan peserta tidak dapat tidur lena sepanjang malam. Risau juga mengenangkan laluan curam dan licin yang akan ditempuh selepas bermalam.

Namun, semua itu tidak mematahkan semangat peserta, lebih-lebih lagi apabila malim gunung yang mengiringi kami tidak pernah jemu menuturkan kata-kata semangat.

Seawal jam 3 pagi keesokan hari, semua pendaki berhimpun untuk diberikan taklimat sebelum dibahagikan kepada kumpulan kecil yang dianggotai 10 pendaki serta dua malim bagi setiap kumpulan.

Laluan curam, berbukit dan licin yang dijangka semua peserta akhirnya dirasai penulis yang bersama kumpulan pertama.

Semasa pendakian, malim sentiasa mengingatkan peserta supaya menjaga etika mendaki termasuk tidak bercakap besar dan menghormati Gunung Wakid yang dipercayai mempunyai penunggu oleh masyarakat setempat.

Sepanjang mendaki, peserta melalui ranjau dan perlu berpaut pada batang atau akar pokok untuk memudahkan pendakian, selain berhati-hati ketika melangkah di laluan licin serta batu longgar yang boleh tercabut pada bila-bila masa.

Hampir dua jam berjalan, akhirnya kami tiba di puncak pertama. Kami juga berjaya tiba awal 20 minit sebelum matahari terbit dari arah Gunung Kinabalu.

Sambil menyaksikan panorama indah matahari terbit, penulis dan peserta lain tidak melepaskan peluang merakam setiap detik indah sebagai kenangan berharga selepas menawan puncak gunung Wakid.

Tidak dapat digambarkan kepuasan sepanjang berada di puncak, sejuk mata memandang daerah Tambunan dan Keningau dari atas sambil menyedut udara segar ketika matahari terbit.

Namun, cabaran tidak terhenti di situ saja, kami meneruskan perjalanan sejauh 500 meter lagi ke dua lagi puncak sebelum turun semula ke tapak perkhemahan.

Sepanjang perjalanan turun, kami banyak menggunakan tali kerana keadaan laluan yang sangat curam dan tidak ada pokok atau akar untuk berpaut.

Ada peserta yang tergelincir akibat laluan licin, tetapi sempat berpaut pada dahan pokok.

Tiba di kaki gunung pula, kami berjalan kaki dan melintasi hampir 10 anak sungai menuju ke tapak perkhemahan semula sebelum rehat dan menikmati makanan yang disediakan malim gunung.

Penulis juga tidak melepaskan peluang bermandi-manda di air terjun Kolopis.

Menurut peserta, Noel Waydi, 25, walaupun dia sudah biasa mendaki gunung dan bukit di Sabah, gunung Kinabalu dan gunung Wakid antara trek paling mencabar.

Katanya, ia memerlukan persediaan lengkap dari segi mental dan fizikal.

“Disebabkan hujan lebat dengan laluan yang curam dan licin, kami perlu lebih berhati-hati berjalan pada waktu gelap dan bergantung pada lampu yang disangkutkan di kepala.

“Akibat laluan curam serta cuaca yang sangat sejuk dan berkabus, langkah kami menjadi semakin perlahan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Jeccany Ricca Johnny, 24, pula berkata, dia teruja melakukan pelbagai aksi mencabar sepanjang perjalanan ke puncak Gunung Wakid.

“Saya teruja apabila dapat menguji kekuatan sendiri ketika memanjat dengan berpaut pada akar serta pokok kecil di laluan curam.

“Saya menyarungkan kasut ‘adidas kampung’ diperbuat daripada getah yang boleh menghangatkan kaki. Kasut telap air ini sangat membantu ketika mendaki di laluan licin.

Untuk kekal bertenaga, pendaki disarankan minum air secukupnya dan membawa makanan ringan seperti roti.

Namun, kami dinasihatkan tidak makan makanan berminyak kerana ia lambat hadam ketika kita memerlukan tenaga yang banyak.

Jika mahu bermalam seperti kami di tapak perkhemahan, seeloknya membawa dua hingga tiga helai baju dan selebihnya, bekalan makanan untuk dimakan ketika berkhemah.

-Hmetro

Post a Comment