Terbentuk hasil letusan beberapa gunung berapi lumpur dengan letusan terakhir pada 1941 dan sejak itu semuanya kekal tidak aktif, Pulau Tiga di Sabah punya tarikan tersendiri.

Turut terkenal dengan gelaran ‘Pulau Survivor’ kerana menjadi lokasi utama untuk episod pertama siri program terkenal ‘Survivor’, Pulau Tiga lokasi percutian menarik buat anda yang cintakan alam semula jadi serta lautan membiru.

Pulau Tiga adalah pulau terbesar antara tiga pulau yang membentuk Taman Pulau Tiga. Kawasan sekelilingnya sememangnya cantik dan persekitaran alam semula jadinya masih tidak tercemar.

Mandi lumpur dari muntahan lumpur gunung berapi sudah sejuk dan kaya mineral ini adalah aktiviti popular di sini.

Ini kerana, ramai beranggapan lumpur yang kaya dengan mineral ini bagus untuk kulit.

Bagi pencinta alam semula jadi pula, terdapat hutan hijau yang subur dan pantai pasir yang putih serta air jernih menanti untuk dinikmati.

Terumbu karang di sekeliling pulau pula menjadi rumah bagi banyak spesies ikan dan hidupan marin lain, sekali gus menjadikan aktiviti menyelam sesuatu yang cukup mengujakan.

Aktiviti laut lain termasuk snorkeling serta menjelajah dan melihat burung di sekitar pulau menambahkan lagi keunikan bercuti Pulau Tiga ini.

Untuk ke pulau ini, anda perlu menempuh perjalanan sejauh 140 kilometer dari Kota Kinabalu ke Kuala Penyu di Semenanjung Klias, kemudian menaiki bot ke pulau selama lebih kurang 45 minit.

-Hmetro

Post a Comment