Maliau Basin  digelar The Lost World. Semuanya disebabkan misteri alam semula jadi yang dianggarkan berusia jutaan tahun yang masih belum terungkai sehingga kini.

Itulah keistimewaan Lembangan Maliau atau lebih dikenali sebagai Maliau Basin yang sememangnya menjadi syurga kepada para penyelidik dan pencinta flora dan fauna di Sabah.

Meliputi keseluruhan kawasan seluas 588.4 kilometer persegi, Maliau Basin yang dikatakan berbentuk seperti sebuah besen disempadani oleh tebing yang menjangkau ketinggian 1,675 meter dari aras laut.

Pada asalnya, lembangan itu merupakan sebahagian daripada kawasan konsesi balak milik Yayasan Sabah.

Menyedari keunikan kawasan itu, pada tahun 1981, pihak yayasan telah menjadikannya sebagai kawasan pemuliharaan dengan tujuan penyelidikan, pendidikan dan latihan seiring dengan Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum.

Pada tahun 1997, kerajaan Sabah mewartakan lembah sungai itu sebagai kawasan Hutan Simpan Dilindungi (Kelas 1) iaitu ia tidak boleh diteroka pada masa kini dan masa depan.

Maliau yang membawa maksud "susu atau kelam" dalam bahasa suku kaum Murut merujuk kepada air Sungai Maliau yang berwarna gelap berikutan keadaan fosil batuannya.

Terletak jauh di selatan Sabah, kira-kira 40 kilometer di utara sempadan Kalimantan, lembangan itu menceritakan segalanya mengenai flora dan fauna hidupan prasejarah yang wujud di dalamnya.

Hutan utamanya adalah daripada spesies pokok agathis megah, hutan rawa gunung dan hutan dipterokap bukit yang menjulang tinggi hingga 1,800 meter di atas paras laut.

Diversiti Maliau

Melalui beberapa ekspedisi utama yang dijalankan penyelidik telah menemui flora yang berbeza daripada lebih 1,800 spesies.

Antaranya termasuk enam spesies periuk kera dan lebih 80 spesies orkid. Di samping itu, terdapat juga spesies rafflesia yang jarang dijumpai.

Sementara itu, kepelbagaian fauna di Maliau Basin juga tidak kurang hebatnya kerana menyimpan pelbagai spesies hidupan liar terancam yang jarang ditemui.

Badak sumbu Sumatera, orang utan, monyet proboscis, harimau dahan, beruang Malaya dan gajah paling kecil di dunia - borneo pygmy elephant adalah antara spesies haiwan yang boleh ditemui di situ.

Malah, kawasan itu juga menjadi habitat kepada 290 spesies burung termasuk bekia dan burung Jambul selain lebih 35 spesies amfibia, ikan, ketam dan kumbang air.

Satu lagi keistimewaan lembangan itu adalah kawasan tadahan airnya yang besar yang dialir dari Sungai Maliau sebelum berakhir di Sungai Kinabatangan.

Maliau Basin juga merupakan kawasan paling banyak air terjun di negara ini. Sehingga kini lebih 40 buah air terjun telah ditemui termasuk yang paling terkenal iaitu air terjun tujuh tingkat setinggi 28 meter terletak di Sungai Maliau.

Biarpun terletak jauh dari jalan utama, Maliau Basin juga lengkap dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur untuk kemudahan penyelidik dan pengunjung yang mahu menikmati kepelbagaian biodiversiti di dalamnya.

Pusat Pembelajaran Lembangan Maliau yang dibina pada tahun 1999 misalnya, dilengkapi dengan bangunan pejabat, bilik seminar, teater mini dan perpustakaan. Pada masa yang sama, ia turut mempunyai kemudahan asrama yang mampu menampung sehingga 64 orang pada satu-satu masa.

Selain ideal untuk penyelidikan dan pendidikan alam sekitar, Maliau Basin juga sesuai untuk pengunjung yang gemarkan meneroka kehidupan di tengah-tengah hutan belantara yang masih belum terusik sepenuhunya.

Saat di sana, jangan ketinggalan mencuba pengalaman menggunakan jambatan gantung merentasi Sungai Maliau sambil merakamkan detik-detik indah melalui lensa kamera dari menara tinjau yang tersedia.

Sumber : Kosmo.com.my

Post a Comment