Gua Gomantong merupakan sebuah gua batu kapur yang terletak di Sandakan, Sabah. Terdapat 27 buah gua-gua kecil batu kapur dan banyak dihuni jutaan burung layang-layang yang menghasilkan sarang burung dan menjadi sumber pendapatan kepada penduduk kampung sekitarnya.Gua Gomantong terpelihara kerana terletak dalam Hutan Simpan Gomantong Kelas IV dalam Daerah Kinabatangan berhampiran dengan Sungai Kinabatangan .

Kawasan di sekeliling Gua Gomantong dan di gua ini sendiri dipelihara dengan baik sekali untuk membiarkan hidupan liar hidup dalam habitat mereka tanpa sebarang masalah. Dalam perjalanan ke gua ini anda dapat menikmati suasana penuh ketenangan di dalam hutan tapi jangan terkejut pula kalau terjumpa orang utan tiba-tiba yang mungkin berjalan di atas kanopi ruang jalan kerana kawasan hutan di sini menjadi habitat haiwan ini juga.

Setibanya di gua itu nanti, anda perlu bersedia dengan bau najis kelawar yang agak menusuk hidung, dan bagi anda yang membawa keluarga terutama kanak-kanak, perlu tabahkan diri melihat agak banyak lipas yang ada di sini. Agak mencabar, tapi satu pengalaman yang menarik untuk disimpan di dalam memori.

Lebih mencabar jika anda mendaki bukit Gua Gumantong. Sampai dipuncak anda akan melihat keindahan burung walit terbang keluar dan masuk ke dalam gua. Namun anda perlu berhati-hati untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Ini kerana di puncak bukit terdapat satu lubang yang menjadi salah satu laluan mendapatkan sarang burung.

Bayaran masuk ke Gua Gomantong adalah : dewasa MyKad: RM5, Biasa: RM30, Kanak-kanak (Bawah 18 Tahun) MyKad: RM2, Biasa: RM15

Post a Comment